Friday, 9 October 2015

Apakah yang dimaksudkan dengan amanah ?

Amanah berasal daripada perkataan arab - amanah, yang bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam pengertian nilai dan akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Amanah dengan erti kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut, tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan kepercayaan yang diberikan itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya tenteram, aman, selamat dan harmoni. Amanah merupakan satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar di sekitar dengan amanah yang telah diletakkan ke atas dirinya. Manusia tidak boleh melepaskan dirinya dari menunaikan amanah yang telah dibebankan kepadanya oleh kehendak-kehendak kehidupan. Salah satu daripadanya ialah urusan-urusan pentadbiran yang merupakan satu urusan yang mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan. Setiap orang adalah bertanggungjawab untuk memperbaiki sebarang kerosakan yang berlaku dalam urusan pentadbiran kerana ia merupakan satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Setiap orang mesti menunaikan amanah kepada tuhan, diri, keluarga, masyarakat dan negara.

No comments:

Post a Comment