1. Amanah kepada Allah dan Rasul
2. Amanah kepada diri sendiri.
3. Amanah kepada masyarakat dan perkhidmatan.
Dalam pembentukan sebuah kerajaan
yang beramanah dan adil, perlu ada pemimpin yang memenuhi ketiga-tiga jenis
amanah ini. Hal ini kerana ketiga-tiga jenis amanah ini dapat menjadikan
seseorang individu yang tawaduk serta taat terhadap segala perintah Allah dan
meninggalkan larangan-Nya. Dalam sebuah hadis, Nabi ada meriwayatkan tentang
sifat amanah ini iaitu:
“Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya
Rasulullah SAW bersabda, Tanda-tanda orang munafik ada tiga, apabila bercakap
ia berbohong, apabila berjanji ia mungkir janji dan apabila diberi amanah ia
khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
1. Amanah kepada Allah dan Rasul
Sebagai hamba dan khalifah di muka
bumi ini, manusia perlu melakukan segala perintah-Nya. Sebagai hamba,
tanggungjawab yang wajib dilaksanakan ialah untuk patuh ,taat dan tunduk
kepada-Nya. Segala perintah-Nya wajib dilaksanakan dan segala larangan-Nya
wajib juga untuk dihindari. Jika ia dapat dilaksanakan, maka lengkaplah
tanggungjawab kita selaku hamba-Nya. Manakala sebagai khalifah pula, kita
bertanggungjawab untuk membangunkan dan mentadbir muka bumi ini berdasarkan
syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sehubungan dengan itu, amanah
manusia terhadap Allah SWT ini perlulah untuk dilaksanakan terlebih dahulu bagi
setiap insan amnya dan khususnya para pemimpin.
Manakala amanah kepada Rasul pula
ialah melaksanakan segala tanggungjawab berpandukan sunnah Rasulullah SAW.
Segala perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah SAW perlulah dicontohi dan
dijadikan panduan dalam sistem pemerintahan.
2. Amanah kepada diri sendiri.
Amanah kepada diri sendiri
merangkumi amanah terhadap setiap anggota tubuh badan yang dimiliki. Segala
anggota tubuh badan yang dikurniakan oleh Allah SWT ini merupakan amanah yang
wajib bagi kita setiap hamba untuk jaganya dengan penuh amanah.
Mulut yang dikurniakan perlulah
dijaganya dengan tujuan yang baik dan tidak menggunakannya untuk mengumpat atau
memfitnah orang lain. Mata juga perlulah dijaga daripada melihat benda-benda
yang diharamkannya. Begitu juga dengan tangan, kaki dan anggota badan yang
lain. Kesemua amanah ini wajib bagi kita untuk menjaganya.
3. Amanah kepada masyarakat dan perkhidmatan.
Kehidupan manusia di muka bumi ini
adalah bermasyarakat. Apabila bermasyarakat, maka manusia berkehendakkan kepada
saling bergantung di antara satu sama lain. Seorang pesakit bergantung kepada
doktor untuk merawat dan mengubati penyakit yang dihadapi, seorang murid
bergantung kepada guru untuk mendidik dan menyampaikan ilmu kepada dirinya dan
seorang rakyat bergantung kepada pemimpinnya untuk mentadbir sebuah negara agar
kebajikan rakyat dapat dibela dengan seadil-adilnya.
Apabila pergantungan itu dikaitkan
dengan perkhidmatan, setiap orang diwajibkan untuk memberikan perkhidmatan yang
terbaik kepada semua orang. Perkhidmatan yang baik adalah yang dilaksanakan
dengan jujur dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang pujian atau ganjaran.
Apabila perkhidmatan yang diberikan adalah beramanah, maka sebarang perbuatan
khianat mahupun penyelewengan dapat dihindarkan.
Kesimpulannya, dalam pembentukan
sebuah kerajaan yang beramanah dan adil, sifat amanah ini perlulah ditanam
dalam diri semua orang terutamanya para pemimpin kerana merekalah yang akan
mentadbir negara. Jika sifat amanah ini tiada dalam diri para pemimpin, maka
negara akan menjadi tidak terurus dan rasuah akan mudah berlaku.
Mari kita renung bersama dan
menyorot kembali kisah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang sangat beramanah
ketika memerintah negara. Pada suatu malam ketika beliau sedang tekun
menyiapkan kerja rasminya dalam bilik istana, tiba-tiba salah seorang puteranya
telah masuk untuk membincangkan suatu hal yang berhubung dengan urusan
keluarga. Setelah puteranya duduk, beliau pun memadamkan lampu yang berada di
atas mejanya, yang digunakan ketika bekerja pada malam itu. Puteranya merasa
hairan lalu bertanya.
"Kenapa ayahanda padamkan
lampu ini? Bukankah lebih baik kita berbincang di bawah cahaya lampu yang
terang?"
Khalifah Umar menjawab, "Benar
katamu wahai anakkku, tetapi engkau harus ingat, lampu yang sedang ayahanda
gunakan untuk bekerja sebentar tadi adalah kepunyaan Kerajaan, minyak yang
digunakan itu dibeli dengan wang Kerajaan, sedangkan perkara yang hendak kita
bincangkan ini adalah urusan keluarga."
Kemudian beliau menyuruh seorang
pelayan supaya membawa lampu yang lain dari dalam biliknya. Setelah lampu itu
dinyalakan maka ia pun berkata kepada puteranya:
“Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah
kepunyaan keluarga kita, minyaknya pun kita beli dengan wang kita sendiri. Sila
kemukan apa yang anakanda hendak bincangkan dengan ayahanda”.
No comments:
Post a Comment