Monday, 5 October 2015

Amanah dalam bekerja


Kita maklum bahawa, Islam sangat menggesa umatnya bekerja. Bekerja mestilah dilakukan dengan niat semata-mata kerana Allah SWT untuk mendapat kebahagiaan hidup berupa rezeki di dunia, di samping tidak melupakan kehidupan di hari akhirat.


Amalan melaksanakan kerja sebagai ibadah perlu dilaksanakan dengan nilai amanah, ketekunan dan kegigihan. Malah nilai-nilai ini sememangnya tidak asing lagi bagi seorang pekerja Muslim. Ini kerana ia telah dilatih dalam kehidupan seharian, khususnya melalui ibadah yang dilaksanakan, seperti solat. Cuba fikirkan jika nilai ini terhakis daripada diri seorang pekerja. Apakah yang akan berlaku jika pekerja kita telah mula menerima budaya seperti tidak berdisiplin, tiada integriti, menyeleweng, rasuah dan sebagainya?


Dari Ali R.A. katanya, "Kami duduk bersama Rasulullah SAW, lalu muncul seorang daripada keluarga al-Aliyah dan bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah! beritahulah kepadaku apakah sesuatu yang paling berat dalam agama dan apakah yang ringan? Maka jawab Rasulullah SAW, yang paling ringan dan mudah adalah mengucap dua kalimah syahadah, dan yang paling berat ialah amanah. Sesungguhnya tidak ada agama bagi orang yang tidak amanah. Sembah yang baginya dan tiada zakat." (Riwayat al-Bazar at-Tabrani)


Oleh itu, dalam Islam hendaklah menjadikan kerja sebagai ibadah bagi keberkatan rezeki yang diperoleh, lebih-lebih lagi sebagai persediaan menghadapi kehidupan di akhirat yang kekal abadi.


 Firman Allah dalam Surah al-Qasasayat 77, "Dan tuntutlah harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagian (keperluan dan bekalan) di dunia. Berbuat baiklah kepada hamba-hamba Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu (dengan pemberian yang melimpah-limpah). Janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakkan."


Begitu juga al-Quran menjelaskan bahawa solat berperanan mencegah orang yang melaksanakannya dari pada melakukan dosa dan kemungkaran. Isyarat tentang ketekunan dan kecemerlangan yang menjadi penanda aras bagi pelaksanaan sesuatu tugas oleh seseorang Muslim begitu jelas dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW (maksudnya),

"Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti." Riwayat al-Baihaqi daripada 'Aisyahr.a.




Pemupukan nilai amanah dalam diri seharusnya bermula dalam diri sendiri. Jika ini berlaku barulah amanah terhadap orang lain akan dapat dilaksanakan dengan baik. Sebagai contoh, sebagai pekerja kita menggalas amanah untuk melakukan yang terbaik kepada organisasi yang kita naungi.


Dalam masa yang sama, seorang pekerja atau kakitangan yang beramanah perlu sentiasa berusaha memanfaatkan masa bekerja untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan. Ia akan mengatur perancangan dan persediaan tugasan dengan baik agar tiada waktu yang berlalu dengan sia-sia atau menjauhi sikap menunda-nunda kerja atas alas an peribadi untuk mengelakkan tugasan yang diamanahkan tidak dapat diselesaikan dengan baik dan menurut tempoh yang telah ditentukan.

Begitu juga seorang pekerja berperanan untuk menggalas amanah bagi melaksanakan tugas dengan penuh minat, ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi. Kita diseru agar mengutamakan kepentingan majikan serta organisasi berbanding kepentingan diri, sentiasa berusaha memastikan majikan dan organisasi tempat kita bekerja, mencapai matlamat yang disasarkan dengan jayanya. Seorang pekerja itu tidak boleh berasa selesa dengan pangkat dan kedudukan yang mereka peroleh. Mereka perlu berusaha agar mendapat kedudukan yang lebih baik daripada apa yang dilakukan pada masa ini.


Harus ditekankan di sini bahawa seorang pekerja perlu memainkan peranan yang aktif dan tidak boleh berfikiran asalkan siap kerja untuk hari ini sudah memadai. Mereka perlu memandang jauh kedepan dalam memikirkan apakah nilai tambah yang perlu dilakukan untuk memantapkan kedudukan organisasi pada masa hadapan. Budaya bermalas-malasan serta berfikiran negative perlu dikikis dalam diri setiap pekerja. Ini kerana dengan bersikap sedemikian seseorang itu akan sentiasa terkebawah dan membantutkan perjalanan organisasi berkenaan.


Begitu juga dengan majikan, sebagai majikan maka kita memiliki amanah untuk memelihara kebajikan pekerja termasuk membayar gaji atau upah bersesuaian dengan kebolehan serta kecekapan mereka, memuliakan dan menghormati mereka, tidak sama sekali menindas serta memerah keringat mereka secara tidak adil dan sentiasa memberikan dorongan serta motivasi supaya mereka mencintai pekerjaan dan bersemangat melaksanakan tugas.


Selain itu, pembentukan persekitaran kerja yang selamat dan sihat perlu diutamakan. Kerana itu, ianya memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak, terutama para majikan yang mempunyai peranan dan amanah yang sangat besar terhadap aspek keselamatan pekerja dan persekitarannya.


Sebagai pekerja Muslim, kita di ingatkan supaya berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, terutama dalam melahirkan umat Islam yang beramanah. Ini kerana kesan menghayati dua sumber ini berupaya menghasilkan insan yang benar-benar bertanggungjawab dalam melaksanakan apa jua tugasan yang diberikan.



"Wahai orang-orang yang beriman !, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah danRasulnya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)"






Disini kami ada sedikit video mengenai tajuk yang telah kami kupaskan.Diharap dapat memberi sedikit ilmu yang bermanfaat.Sekian.

   
       

                     KERATAN AKHBAR




               

                      
       OUR SWEET MEMORY
                                              





No comments:

Post a Comment